14. Pengurusan Naik Taraf dan Pembangunan Semula Bangunan Daif di Sekolah
Ringkasan Dokumen
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 komited untuk memastikan semua sekolah mencapai sekurang-kurangnya keperluan asas yang penting serta persekitaran yang selamat dan kondusif bagi pe ...
Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 komited untuk memastikan semua sekolah mencapai sekurang-kurangnya keperluan asas yang penting serta persekitaran yang selamat dan kondusif bagi pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP). Mulai tahun 2016, KPM telah melaksanakan projek naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif (projek daif) di sekolah bagi memastikan infrastruktur sekolah dalam keadaan selamat dan kondusif. Bermula tahun 2020, pengurusan projek daif ditambah baik dengan memperkenalkan tahap keadaan bangunan sekolah mengikut skala iaitu Skala 1 hingga 7.
Pengauditan meliputi dua bidang utama Audit iaitu prestasi naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah serta pengurusannya. Prestasi naik taraf dan pembangunan semula bangunan daif di sekolah dinilai berdasarkan pencapaian output dan keberhasilan. Pengurusan pula dinilai berdasarkan peruntukan dan perbelanjaan projek, pengurusan projek dan pengurusan sekolah yang belum diangkat permohonan projek daif. Pengauditan dijalankan terhadap sampel 131 sekolah yang diluluskan projek daif meliputi sampel 128 sekolah yang dilaksanakan projek daif dan tiga sekolah dilaksanakan perolehan tanah. Selain itu, pengauditan juga dijalankan terhadap sekolah yang belum diangkat permohonan projek daif bagi tempoh tahun 2019 hingga 2022 meliputi 205 sekolah yang telah diperiksa oleh JKR.