Syarikat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (Rapid) diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 26 Julai 2004 sebagai syarikat milikan penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dengan modal berbayar berjumlah RM239.18 juta ...
Syarikat Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn. Bhd. (Rapid) diperbadankan di bawah Akta Syarikat 1965 pada 26 Julai 2004 sebagai syarikat milikan penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) dengan modal berbayar berjumlah RM239.18 juta. Bagaimanapun, pada 30 Jun 2009, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah mengambil alih 100% syer Rapid daripada MKD dan seterusnya pada 14 Disember 2012, Rapid telah menukar nama kepada Rapid Rail Sdn. Bhd. (Rapid Rail).
Penilaian terhadap pengurusan aktiviti perkhidmatan rel bandar bagi tempoh tahun 2018 hingga bulan November 2021 yang meliputi dua bidang utama Audit iaitu prestasi dan pengurusan aktiviti. Prestasi aktiviti terdiri daripada dua perkara iaitu pencapaian output dan keberhasilan. Pengurusan aktiviti pula terdiri daripada tiga perkara iaitu pengurusan hasil operasi rel; pengurusan operasi dan penyenggaraan rel serta pengurusan infrastruktur dan kemudahan di stesen rel.
Penilaian terhadap sembilan aspek amalan terbaik tadbir urus korporat iaitu Pengerusi; Lembaga Pengarah; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO); Setiausaha Syarikat; Prosedur Operasi Standard (SOP); Pelan Strategik Perniagaan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI); Jawatankuasa Audit (JKA); Audit Dalam; serta Jawatankuasa Lembaga Pencalonan dan Imbuhan (BNRC) bagi tempoh tahun 2018 hingga bulan November 2021.
Analisis terhadap tiga tahun penyata kewangan beraudit iaitu 2018, 2019 dan 2020 merangkumi analisis pendapatan, perbelanjaan dan untung rugi; analisis aset dan liabiliti; analisis nisbah kewangan; serta analisis aliran tunai.