Pengurusan Program Pembangunan Tenaga Boleh Baharu
Ringkasan Dokumen
Menurut Akta Tenaga Boleh Baharu (Akta 725), Tenaga Boleh Baharu (TBB) adalah elektrik yang dijana atau dihasilkan daripada sumber boleh baharu. Akta 725 turut mendefinisikan sumbe ...
Menurut Akta Tenaga Boleh Baharu (Akta 725), Tenaga Boleh Baharu (TBB) adalah elektrik yang dijana atau dihasilkan daripada sumber boleh baharu. Akta 725 turut mendefinisikan sumber boleh baharu adalah sumber asli yang berulang-ulang dan tidak akan habis. Kerajaan telah mengiktiraf TBB sebagai sumber tenaga kelima negara pada tahun 1999, terutamanya dalam penjanaan tenaga elektrik. Pengauditan melibatkan penilaian terhadap pengurusan program pembangunan TBB setakat bulan September 2021 yang meliputi dua bidang utama Audit iaitu prestasi dan pengurusan program TBB.
Bagi prestasi program, pencapaian output dinilai terhadap status pencapaian TBB manakala pencapaian keberhasilan (outcome) dinilai terhadap tiga perkara iaitu sumbangan program TBB dalam penjanaan campuran tenaga negara, sumbangan program TBB terhadap penghindaran Carbon Dioxide (CO₂) serta kesedaran dan kefahaman masyarakat terhadap penggunaan dan pelaksanaan program TBB.
Pengurusan program pula dinilai terhadap lima perkara iaitu pemberian insentif percukaian, proses permohonan dan kelulusan program TBB, penjanaan TBB, pengurusan program Feed in Tariff (FiT) dan pemantauan program.
Pengauditan melibatkan pihak yang bertanggungjawab terhadap pengurusan program TBB di peringkat dasar, kawal selia dan pelaksana program iaitu Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Suruhanjaya Tenaga dan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia).