4.1. Pengurusan Program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat
Ringkasan Dokumen
Program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) merupakan salah satu program pembasmian kemiskinan luar bandar dalam memastikan kumpulan sasar (miskin, miskin tegar dan B40) dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik. Progra ...
Program Skim Pembangunan Kesejahteraan Rakyat (SPKR) merupakan salah satu program pembasmian kemiskinan luar bandar dalam memastikan kumpulan sasar (miskin, miskin tegar dan B40) dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lebih baik. Program ini dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat sejak Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10).
Program SPKR mengandungi tiga komponen iaitu Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) dan Program Peningkatan Pendapatan (PPP). Ketiga-tiga komponen program ini dapat membentuk suatu pakej nilai tambah kepada kumpulan sasar untuk memiliki kediaman yang selamat dan selesa, memperkasa jati diri dan menjana pendapatan sendiri.
Pengauditan ini meliputi dua bidang utama Audit iaitu prestasi dan pengurusan program SPKR bagi tempoh tahun 2016 hingga 2020 (RMKe-11) dan 2021 (RMKe-12). Prestasi program dinilai berdasarkan dua perkara iaitu pencapaian output dan pencapaian keberhasilan. Data pencapaian output program telah dikemas kini sehingga 31 Disember 2022. Pengurusan program pula meliputi empat perkara iaitu prestasi kewangan, pengurusan program PPRT, pengurusan program PLKK dan pengurusan program PPP.
Pengauditan ini dijalankan di Bahagian Kesejahteraan Rakyat (BKR), KKDW yang bertanggungjawab terhadap penyelarasan dasar SPKR, penyelarasan teknikal PPRT dan penyelarasan pelaksanaan program SPKR. Di samping itu, tujuh agensi pelaksana terpilih iaitu Kementerian Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak (M-FICORD), Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLBS), Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), GIATMARA Sdn. Bhd. (GIATMARA), Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan FELCRA Berhad. Pengauditan turut dijalankan di syarikat FELCRA Training and Consultancy Sdn. Bhd. dan FELCRA Bina Sdn. Bhd. yang bertanggungjawab terhadap program yang dilaksanakan oleh FELCRA Berhad.