Empat matlamat yang disasarkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) adalah jumlah pengeluaran padi dan beras, purata hasil padi per hektar, SSL beras dan peningkatan tahap pendapatan pesawah.
Empat matlamat yang disasarkan dalam Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0) adalah jumlah pengeluaran padi dan beras, purata hasil padi per hektar, SSL beras dan peningkatan tahap pendapatan pesawah.
Tahap sara diri (SSL) bagi beras merujuk kepada peratus kecukupan beras untuk kegunaan penduduk Malaysia. Sasaran SSL beras telah ditetapkan pada kadar 70% untuk tahun 2019, 73.8% untuk tahun 2022 dan 80% untuk tahun 2030, iaitu peningkatan sasaran sebanyak 17% daripada tahun 2019 hingga tahun 2030.
KPKM bertanggungjawab menggubal dan menetapkan dasar berkaitan dengan pembangunan industri padi dan beras negara. Jabatan/Agensi lain yang terlibat secara langsung dengan industri padi dan beras negara adalah Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).
Pengauditan melibatkan penilaian terhadap prestasi dan pengurusan program bagi tempoh tahun 2019 hingga 2022. Prestasi program dinilai berdasarkan pencapaian output dan keberhasilan. Pengurusan program meliputi pengurusan tanah, benih padi, baja, jentera dan mekanisasi serta peruntukan dan perbelanjaan.
Pengauditan telah dilaksanakan di KPKM, DOA, LPP, MADA, KADA, IADA dan MARDI. Lawatan Audit turut dijalankan secara persampelan di 30 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di kawasan MADA, KADA dan empat IADA di enam negeri untuk semakan fizikal dan temu bual bersama pesawah.
Skop pengauditan bagi penilaian pengurusan program hanya meliputi kawasan jelapang seluas 416,415 hektar (64.3%) daripada 647,936 hektar kawasan penanaman padi di Malaysia. Pengauditan ini tidak meliputi kawasan penanaman padi luar jelapang yang berada di bawah tanggungjawab Jabatan Pertanian Negeri. Namun bagi pelaporan pencapaian output dan keberhasilan secara keseluruhan, data berkaitan pencapaian produktiviti kawasan luar jelapang juga diperolehi daripada Ibu Pejabat DOA.