Setakat 31 Disember 2021, sebanyak 10,224 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) telah dibina. Pembinaan sekolah bertujuan untuk menyediakan tempat pembe ...
Setakat 31 Disember 2021, sebanyak 10,224 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) telah dibina. Pembinaan sekolah bertujuan untuk menyediakan tempat pembelajaran yang lebih selesa, kondusif dan lengkap. Selain itu, adalah untuk menampung lebihan murid di sekolah berhampiran akibat pertambahan penduduk dan kewujudan kawasan perumahan baharu serta menjadikan sekolah ke arah satu sesi.
Pengauditan tertumpu kepada projek sekolah baharu yang dilaksanakan dalam tempoh tahun 2016 hingga 2021 meliputi projek baharu di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dan projek sambungan. Tumpuan pengauditan juga terhadap 87 projek sekolah baharu dengan objektif untuk menampung lebihan murid dan ke arah sekolah satu sesi. Sampel Audit meliputi 19 projek di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, negeri Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan.
Prestasi projek dinilai berdasarkan dua perkara iaitu pencapaian output dan pencapaian keberhasilan projek. Pengurusan projek pula meliputi dua perkara iaitu pencapaian kewangan dan pelaksanaan projek.