Perkhidmatan Konsesi Kerajaan Eletronik (e-Khidmat) oleh Syarikat Perkhidmatan
Ringkasan Dokumen
Projek Perkhidmatan Konsesi Kerajaan Elektronik (e-Khidmat) disediakan bagi membolehkan rakyat Malaysia melaksanakan transaksi dalam talian terhadap perkhidmatan Kerajaan. ...
Projek Perkhidmatan Konsesi Kerajaan Elektronik (e-Khidmat) disediakan bagi membolehkan rakyat Malaysia melaksanakan transaksi dalam talian terhadap perkhidmatan Kerajaan.
Pengauditan dilaksanakan untuk menilai perkhidmatan dalam talian oleh Syarikat Perkhidmatan 505639-K diuruskan dengan berhemat, cekap dan berkesan bagi mencapai objektif yang ditetapkan iaitu menyediakan perkhidmatan secara dalam talian bagi mempertingkatkan kualiti dan prestasi perkhidmatan Kerajaan kepada rakyat. Selain itu, objektif pengauditan juga untuk memastikan data sistem Syarikat Perkhidmatan 505639-K adalah boleh dipercayai, sahih dan berintegriti.
Pengauditan ini meliputi dua bidang utama Audit iaitu prestasi dan pengurusan perkhidmatan sistem Syarikat Perkhidmatan 505639-K. Prestasi perkhidmatan dinilai berdasarkan dua perkara iaitu pencapaian output dan pencapaian keberhasilan.
Pencapaian output merangkumi prestasi penyampaian perkhidmatan Projek e-Khidmat melalui sistem syarikat perkhidmatan kepada rakyat dan juga memberi nilai tambah kepada Kerajaan.
Pencapaian keberhasilan merangkumi pencapaian objektif Projek e-Khidmat iaitu bagi mempertingkatkan kualiti dan prestasi perkhidmatan Kerajaan yang dinilai berdasarkan perkhidmatan dalam talian Syarikat Perkhidmatan 505639-K. Peluasan perkhidmatan turut dinilai bagi memastikan perkhidmatan yang disediakan merangkumi semua golongan pengguna.
Penilaian pengurusan perkhidmatan merangkumi pengurusan perjanjian, pengurusan kutipan hasil, pengurusan bayaran, pengurusan pusat ujian dan ejen lantikan serta pengurusan sistem.
Pengauditan dilaksanakan di Ibu Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Wilayah Persekutuan Putrajaya, JPJ Negeri Johor, JPJ Negeri Pulau Pinang, JPJ Negeri Sabah serta Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Wilayah Persekutuan Putrajaya, Pejabat JIM Negeri Johor dan Pejabat JIM Negeri Pulau Pinang. Pengauditan di Syarikat Perkhidmatan 505639-K dilaksanakan di Ibu Pejabat Negeri Selangor, Cawangan Johor, Cawangan Pulau Pinang dan Cawangan Sabah.