BAYARAN PERKHIDMATAN DAN PENYENGGARAAN TRAFIK UDARA SERTA PERALATAN OPERASI MENCARI DAN MENYELAMAT
Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia
Kementerian Pengangkutan Malaysia
Perkara Utama
Apa yang diaudit?
Pengauditan pematuhan terhadap Bayaran Perkhidmatan Dan Penyenggaraan Trafik Udara Serta Peralatan Operasi Mencari Dan Menyelamat yang dilaksanakan di Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia.
Mengapa ia penting untuk diaudit?
Menentukan pematuhan terhadap undang-undang, peraturan kewangan yang berkuat kuasa, syarat kontrak dan pembayaran dilaksanakan dengan teratur.
Apa yang ditemui Audit?
Penemuan Audit adalah seperti berikut:
- Bayaran sejumlah RM50,220 dibuat bagi Latihan Flight Procedure Design and Airspace Management for Operators yang belum dilaksanakan untuk tahun 2019;
- Bayaran berjumlah RM47,970 dibuat untuk kerja sivil dan struktur yang belum dilaksanakan;
- Bayaran berjumlah RM829,027 dibuat untuk latihan kompetensi dan latihan berulang yang tidak dilaksanakan; dan
- Bayaran berjumlah RM87,147 dibuat untuk penyenggaraan peralatan mencari dan menyelamat yang tidak dibekalkan.
Syor Audit
Pihak Audit mengesyorkan perkara seperti berikut:
- Memastikan butiran dan terma pada kontrak adalah jelas dan boleh diukur. Jadual pembayaran yang disediakan dalam kontrak perlu selari dengan pelaksanaan pembekalan/perkhidmatan/kerja;
- Memastikan pengesahan pembayaran dan penyempurnaan bekalan serta perkhidmatan adalah berdasarkan syarat kontrak, semakan fizikal serta laporan bulanan kerja penyenggaraan dan pembekalan sebelum pembayaran dibuat. Pegawai penerima barangan perlu mempunyai maklumat dan dokumen kontrak yang lengkap untuk tujuan pengesahan;
- Mengambil tindakan segera mengutip balik lebihan bayaran, membuat pelarasan lebihan bayaran daripada tuntutan kontrak akan datang atau melaraskannya daripada bon pelaksanaan bagi kerja penyenggaraan dan pembekalan yang tidak dilaksanakan; dan
- Mengenakan tindakan yang sewajarnya kepada pihak syarikat atau pegawai yang tidak mematuhi kehendak dan arahan agensi seperti yang tertakluk dalam undang-undang, peraturan kewangan dan kontrak.