TH Properties merupakan syarikat subsidiari milik penuh Lembaga Tabung Haji (LTH) dengan modal berbayar berjumlah RM880 juta. Setakat 31 Disember 2020, TH Properties telah menubuhkan 26 syarikat subsidiari dan ...
TH Properties merupakan syarikat subsidiari milik penuh Lembaga Tabung Haji (LTH) dengan modal berbayar berjumlah RM880 juta. Setakat 31 Disember 2020, TH Properties telah menubuhkan 26 syarikat subsidiari dan lima syarikat usaha sama.
Penilaian terhadap aktiviti utama TH Properties bagi tahun 2018 hingga bulan November 2021 meliputi dua bidang utama Audit iaitu prestasi dan pengurusan aktiviti pembinaan, pembangunan hartanah dan pengurusan fasiliti. Dua perkara yang dinilai bagi prestasi aktiviti ialah pencapaian output dan keberhasilan.
Pengurusan aktiviti pula melibatkan empat perkara iaitu pengurusan kontrak pembinaan dan pembangunan hartanah; pengurusan fasiliti; prestasi kewangan syarikat subsidiari dan usaha sama; serta sumber dana.
Penilaian terhadap sembilan aspek amalan terbaik tadbir urus korporat iaitu Pengerusi; Lembaga Pengarah; Ketua Pegawai Eksekutif; Setiausaha Syarikat; Pelan Perniagaan dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI); Prosedur Operasi Standard (SOP); Jawatankuasa Audit; Audit Dalam; serta Jawatankuasa Pencalonan dan Imbuhan dibuat bagi tempoh tahun 2018 hingga bulan November 2021.
Analisis kedudukan kewangan dijalankan terhadap penyata kewangan beraudit bagi tahun 2018, 2019 dan 2020.