MICROSITE LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA 

Senarai Laporan

LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA

LAPORAN KETUA AUDIT NEGARA MENGENAI AKTIVITI DAN PENGURUSAN SYARIKAT KERAJAAN NEGERI JOHOR TAHUN 2020 SIRI 1

Ringkasan Eksekutif

bacaan penuh

RINGKASAN EKSEKUTIF

 

PEJABAT MENTERI BESAR NEGERI JOHOR

PEJABAT DAERAH JOHOR BAHRU

PEJABAT DAERAH BATU PAHAT

PEJABAT DAERAH MERSING

PENGURUSAN PELAKSANAAN KERJA-KERJA KECIL DAN BEKALAN DI BAWAH PERUNTUKAN AHLI DEWAN NEGERI (ADUN)

 

 

Perkara Utama

Apa yang diaudit

 

·       Peruntukan kepada Ahli Dewan Negeri (ADUN) adalah peruntukan tahunan yang diberi oleh Kerajaan Negeri untuk melaksanakan kerja-kerja kecil, bekalan, sumbangan dan program atau aktiviti. Peruntukan bertujuan untuk membantu setiap ADUN memberi perkhidmatan yang berfaedah kepada orang ramai di setiap kawasan Dewan Negeri (DUN) yang diwakili. Peruntukan tahunan ADUN terbahagi kepada tiga jenis iaitu peruntukan Khas, peruntukan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) dan peruntukan Jawatankuasa Penyelarasan DUN (JPD) yang sebelum ini dikenali sebagai Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-mukim (JPMM).

 

·       Pengauditan meliputi dua bidang utama, iaitu prestasi dan pengurusan peruntukan ADUN bagi tahun 2017 hingga 2020. Prestasi peruntukan ADUN meliputi pencapaian output dan pencapaian keberhasilan. Pencapaian output menilai prestasi penerimaan dan perbelanjaan peruntukan ADUN mengikut perancangan yang telah ditetapkan. Pencapaian keberhasilan pula menilai keberkesanan perbelanjaan dan aktiviti yang dijalankan bagi mencapai objektif yang telah ditetapkan. Bagi pengurusan peruntukan ADUN pula, skop pengauditan melibatkan proses agihan peruntukan dan perakaunan peruntukan JPD/JPMM.

·       Pengauditan dilaksanakan di Pejabat Menteri Besar dan tiga Pejabat Daerah (PD) iaitu Johor Bahru (PDJB), Batu Pahat (PDBP) dan Mersing (PDM) melibatkan 21 peruntukan ADUN iaitu sepuluh di PDJB, sembilan di PDBP dan dua di PDM. Keseluruhan peruntukan melibatkan tiga PD bagi tempoh tahun 2017 hingga 2020 berjumlah RM38.67 juta.

·       Semakan dan analisis dijalankan terhadap 2,621 baucar bayaran (2,227 bagi bekalan dan 394 bagi kerja-kerja kecil) di tiga PD bagi menilai pengurusan perbelanjaan menggunakan peruntukan Khas, MMK dan Tambahan. Lawatan fizikal Audit telah dijalankan terhadap 250 (11.2%) penerima bekalan berjumlah RM1.56 juta dan 20 (5.1%) lokasi kerja-kerja kecil berjumlah RM265,300. Bagi peruntukan JPD/JPMM Tahunan dan Tambahan pula, semakan telah dijalankan terhadap 250 baucar di tiga PD. Selain itu, borang soal selidik turut diedarkan secara dalam talian bagi menilai tahap kepuasan penerima manfaat.

 

 

 

Mengapa ia penting untuk diaudit?

 

·      Bagi tempoh tahun 2017 hingga 2020, Kerajaan Negeri telah meluluskan peruntukan ADUN berjumlah RM95.30 juta melibatkan 56 kawasan DUN seluruh negeri Johor.

 

·      Pengauditan dijalankan bagi menentukan sama ada pelaksanaan kerja-kerja kecil dan bekalan yang menggunakan peruntukan ADUN telah dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan serta mencapai objektif utama peruntukan untuk memberi manfaat kepada orang ramai.

 

 

 

Apa yang ditemui Audit?

 

·     Secara keseluruhannya, berdasarkan skop pengauditan dan sampel Audit, dapat dirumuskan pengurusan peruntukan ADUN di PDJB, PDBP dan PDM tidak dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan kerana berlaku kelemahan dalam aspek prestasi perbelanjaan, penyampaian perkhidmatan dan pengurusan baki peruntukan. Kelemahan ini menjejaskan pencapaian objektif yang ditetapkan bagi melaksanakan kerja-kerja kecil dan bekalan untuk memberi manfaat kepada orang ramai.

·     Penemuan utama Audit yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut:

-     prestasi perbelanjaan peruntukan ADUN untuk peruntukan Khas, MMK dan Tambahan bagi tahun 2017 hingga 2020 mendapati perbelanjaan keseluruhan mencapai RM16.09 juta atau 83.1% daripada RM19.37 juta yang diperuntukkan;

-     pada tahun 2019 dan 2020, ADUN Kempas telah mencatatkan baki peruntukan Khas tidak dibelanjakan yang tertinggi iaitu berjumlah RM130,000 (86.7%) pada tahun 2019 dan RM78,000 (52%) pada tahun 2020 berbanding peruntukan tahunan RM150,000;

-     tiada sasaran atau KPI ditetapkan untuk mengukur pencapaian keberhasilan peruntukan ADUN yang telah dibelanjakan untuk bekalan, kerja-kerja kecil dan program/aktiviti ADUN walaupun peruntukan diletakkan di bawah vot pembangunan;

-     23 peruntukan daripada 13 ADUN kurang melaksanakan kerja-kerja kecil dan tidak mengikut had minimum perbelanjaan yang telah ditetapkan;

-   lima peruntukan Khas dan MMK untuk bekalan telah dibelanjakan melebihi kadar 30% dari had yang dibenarkan iaitu antara 40% sehingga 68.5% melibatkan ADUN di PDBP dan PDM;

-      sepuluh perolehan bekalan berjumlah RM56,700 yang diterima pada tahun 2017 dan 2018 tidak digunakan;

-     bekalan yang diperoleh melalui enam baucar bayaran berjumlah RM38,000 telah digunakan untuk kegunaan individu dan perniagaan persendirian;

-    pembayaran berjumlah RM1.93 juta melalui peruntukan ADUN menggunakan kaedah outright grant (OG) tanpa kelulusan Pegawai Kewangan Negeri; dan

-     baki Akaun Peruntukan JPMM berjumlah RM2.73 juta yang belum dipulangkan kepada Kerajaan negeri.

 

 

 

Apa yang disyorkan Audit?

 

·       Bagi mengatasi kelemahan yang dibangkitkan dan menambahbaik Pengurusan Peruntukan ADUN, pihak Audit mengesyorkan pihak terlibat untuk mempertimbangkan perkara seperti berikut:

-     laporan terhadap maklum balas terkini berhubung prestasi kerja-kerja kecil dan bekalan hendaklah dilaksanakan oleh PD dan dikemukakan secara berkala kepada PMB;

-     PMB dan PD hendaklah memantau pelaksanaan bekalan dan kerja-kerja kecil dengan lebih berkesan supaya pengagihan peruntukan Khas, MMK dan Tambahan dapat mencapai objektifnya iaitu untuk memberi manfaat kepada orang ramai;

-    mekanisme/indikator pengukuran yang ditetapkan bagi mengukur pencapaian tahap keberhasilan perlu disediakan;

-      pihak ADUN dan PD hendaklah mematuhi Garis Panduan Rancangan Pembangunan Kerja-kerja Kecil yang dikeluarkan oleh PMB dan Arahan Perbendaharaan serta pekeliling yang berkaitan untuk memastikan Kerajaan mendapat value for money bagi perolehan yang dibuat; dan

-      baki Peruntukan ADUN yang tidak aktif dan tidak dapat dimanfaatkan dipulangkan kepada Kerajaan Negeri.

 
tutup


Ringkasan Dokumen

Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 menghendaki Ketua Audit Negara mengaudit Penyata Kewangan Kerajaan Negeri, Pengurusan Kewangan dan Aktiviti Jabatan/Agensi Negeri. Seksyen 5(1)(d) Akta A ...

bacaan penuh

Perkara 106 dan 107 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Audit 1957 menghendaki Ketua Audit Negara mengaudit Penyata Kewangan Kerajaan Negeri, Pengurusan Kewangan dan Aktiviti Jabatan/Agensi Negeri. Seksyen 5(1)(d) Akta Audit 1957 serta Perintah Audit (Akaun Syarikat) 2017 pula memberi kuasa kepada Ketua Audit Negara untuk mengaudit sesebuah syarikat yang didaftarkan di bawah Akta Syarikat 1965 yang menerima geran/pinjaman/jaminan daripada Kerajaan Persekutuan atau Kerajaan Negeri dan sesebuah syarikat di mana lebih daripada 50% modal saham berbayar dipegang oleh Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri atau Agensi Kerajaan Persekutuan/Negeri.

tutup


Isi Kandungan

RINGKASAN KESELURUHAN

PENERANGAN INFOGRAFIK RINGKASAN KESELURUHAN

PEJABAT MENTERI BESAR NEGERI JOHOR

PEJABAT DAERAH JOHOR BAHRU

PEJABAT DAERAH BATU PAHAT

PEJABAT DAERAH MERSING

1. Pengurusan Pelaksanaan Kerja-Kerja Kecil dan Bekalan di Bawah Peruntukan Ahli Dewan Negeri

PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN

NEGERI JOHOR

·    BAHAGIAN PERANCANGAN EKONOMI NEGERI

·     BAHAGIAN KHIDMAT PENGURUSAN

JABATAN KERJA RAYA

·    UNIT SENGGARA ASET NEGERI

2. Pengurusan Penyenggaraan Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di Kota Iskandar

 JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR

3. Pengurusan Sekolah Agama

 PERBADANAN JOHOR

4. Pengurusan Hartanah Komersial

 PERBADANAN ISLAM JOHOR

5. Insist Amilat Sdn. Bhd.

PENUTUP

AKRONIM

bacaan penuh

RINGKASAN KESELURUHAN

PENERANGAN INFOGRAFIK RINGKASAN KESELURUHAN

PEJABAT MENTERI BESAR NEGERI JOHOR

PEJABAT DAERAH JOHOR BAHRU

PEJABAT DAERAH BATU PAHAT

PEJABAT DAERAH MERSING

1. Pengurusan Pelaksanaan Kerja-Kerja Kecil dan Bekalan di Bawah Peruntukan Ahli Dewan Negeri

PEJABAT SETIAUSAHA KERAJAAN

NEGERI JOHOR

·    BAHAGIAN PERANCANGAN EKONOMI NEGERI

·     BAHAGIAN KHIDMAT PENGURUSAN

JABATAN KERJA RAYA

·    UNIT SENGGARA ASET NEGERI

2. Pengurusan Penyenggaraan Pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di Kota Iskandar

 JABATAN AGAMA ISLAM NEGERI JOHOR

3. Pengurusan Sekolah Agama

 PERBADANAN JOHOR

4. Pengurusan Hartanah Komersial

 PERBADANAN ISLAM JOHOR

5. Insist Amilat Sdn. Bhd.

PENUTUP

AKRONIM

tutup


Tag berkaitan: Kehilangan/Kerugian Wang Awam

LIPUTAN MEDIA

  • Tiada Liputan Media berkaitan.

MAKLUMAT

22 Mac 2022
2020 / Siri 1
Laporan
Negeri

MUAT TURUN

Saiz Dokumen
87.57 MB

Format Dokumen
pdf

Jumlah Muat Turun
344

Baca Muat Turun Portal AG's Dashboard

  • Diterbitkan pada: 09 Mei 2025
  • Laporan ini dilihat: 1150
  • Cetak
Hakcipta Terpelihara © Jabatan Audit Negara