Laporan Penuh: Auditan Khas Pengurusan Hutan dan Impak Kepada Alam Sekitar
Ringkasan Dokumen
Malaysia merupakan sebuah negara tropika yang meliputi keluasan tanah seluas kira-kira 33 juta hektar (ha), yang terdiri daripada tiga wilayah iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Malaysia mengiktira ...
Malaysia merupakan sebuah negara tropika yang meliputi keluasan tanah seluas kira-kira 33 juta hektar (ha), yang terdiri daripada tiga wilayah iaitu Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak. Malaysia mengiktiraf hutan sebagai khazanah warisan negara yang strategik dan komited untuk mengekalkan kawasan hutan yang mencukupi bagi kepentingan perkhidmatan ekosistem hutan, konservasi kepelbagaian biologi, perlindungan alam sekitar dan penggunaan sumber secara berkekalan ke arah pembangunan sosioekonomi negara dan kesejahteraan generasi kini dan akan datang.
Dasar Perhutanan Malaysia menyatakan bahawa Malaysia komited untuk terus mengekalkan sekurang-kurangnya 50% daripada keluasan tanah negara sebagai hutan dan litupan pokok.
Pengauditan melibatkan penilaian terhadap pengurusan hutan dan impak kepada alam sekitar meliputi tempoh tahun 2016 hingga 2021. Penilaian merangkumi dua bidang utama Audit iaitu prestasi dan pengurusan aktiviti. Analisis Audit terhadap data pengurusan hutan bagi sembilan negeri iaitu Johor, Kedah, Kelantan, Pahang, Perak, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu juga telah dilaksanakan.
Prestasi aktiviti dinilai berdasarkan pencapaian output dan keberhasilan meliputi faedah/impak aktiviti perhutanan terhadap aspek ekonomi, sosial dan alam sekitar. Pencapaian output dinilai berdasarkan lima perkara iaitu Litupan Hutan, Pewartaan, Pengeluaran dan Penggunaan Hasil Hutan, Penubuhan Ladang Hutan dan Rangkaian Ekologi. Selain itu, pencapaian keberhasilan pula dinilai berdasarkan kepada empat perkara iaitu Industri Perhutanan, Kesejahteraan Sosial dan Hidupan Liar, Kawasan Sensitif Alam Sekitar serta Kesan kepada Alam Sekitar.
Penilaian terhadap pengurusan aktiviti adalah berdasarkan kepada enam perkara iaitu Pencapaian Kewangan, Pengurusan Sumber Hutan, Pembangunan Hutan Asli, Pengurusan Projek Pembangunan Ladang Hutan, Penguatkuasaan dan Pemantauan Sumber Hutan serta Sistem dan Teknologi Perhutanan.