- Projek Pembangunan Semula Kompleks Angkasapuri berkonsepkan idea Bandar Media telah dicadangkan oleh Kerajaan pada tahun 2009. Pembangunan semula ini melibatkan dua komponen utama iaitu pembinaan bangunan baharu dan pembekalan fasiliti penyiaran. Projek ini melibatkan kos projek berjumlah RM860 juta merangkumi tiga perjanjian iaitu Perjanjian Pajakan 1, Perjanjian Pajakan 2 dan Perjanjian Konsesi.
- Model Private Finance Initiative (PFI) yang digunakan untuk pembangunan projek ini adalah Built-Lease-Maintain-Transfer (BLMT) yang mana syarikat konsesi akan membina kemudahan infrastruktur atas tanah Kerajaan menggunakan dana syarikat. Projek ini juga melibatkan tukaran tanah berkeluasan 11.3 ekar yang bernilai RM137.19 juta.
- Pengauditan ini dijalankan untuk menilai sama ada Projek Pembangunan Semula Kompleks Angkasapuri Sebagai Bandar Media telah dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan bagi mencapai objektif yang ditetapkan iaitu membangunkan Bandar Media yang akan menjadi mercu tanda kepada kemajuan industri penyiaran dan industri kreatif serta pemangkin kepada Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) ke arah era baru penyiaran negara.
- Projek ini juga bertujuan untuk menaik taraf dua saluran transmisi analog sedia ada kepada 10 saluran TV Digital serta menaik taraf produksi penyiaran daripada Standard Definition (SD) kepada High Definition (HD).
- Pengauditan ini meliputi dua bidang utama Audit iaitu prestasi dan pengurusan projek bagi tahun 2016 hingga 2021. Prestasi projek dinilai berdasarkan kepada pencapaian output dan pencapaian keberhasilan. Pengurusan projek pula meliputi prestasi kewangan, pemilihan syarikat konsesi, tukaran tanah, condition precedent dan pengurusan aduan LA 1.
Pengauditan telah dijalankan di Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) dan Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS). Selain itu, pengauditan ini meliputi semakan terhadap rekod perancangan yang dibuat mulai tahun 2009.
tutup