Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Inisiatif di bawah program ini adalah Program Baik Pulih Rumah, Program Rumah Sejahtera dan Pro ...
Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Inisiatif di bawah program ini adalah Program Baik Pulih Rumah, Program Rumah Sejahtera dan Program Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (Program PEKB).
Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) adalah agensi pelaksana di peringkat negeri bagi Program Baik Pulih Rumah dan Program Rumah Sejahtera (Program Perumahan). Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) pula adalah agensi pelaksana bagi Program PEKB.
Pengauditan dijalankan untuk menilai sama ada pengurusan PPKB telah dilaksanakan dengan berhemat, cekap dan berkesan bagi mencapai objektif yang ditetapkan iaitu mengurangkan beban tanggungan serta meningkatkan keupayaan dan kualiti hidup keluarga B40 demi kesejahteraan komuniti.
Pengauditan meliputi dua bidang utama Audit iaitu prestasi dan pengurusan program bagi Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11) dan Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) setakat 31 Disember 2021.
Prestasi program dinilai berdasarkan kepada dua perkara iaitu pencapaian output dan pencapaian keberhasilan. Pengurusan program pula meliputi tiga perkara iaitu prestasi kewangan, pengurusan Program Perumahan dan pengurusan Program PEKB.
Pengauditan melibatkan Bahagian Kesejahteraan Komuniti, KPKT; Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri; Jabatan Perangkaan Malaysia; dan PBT.